Sinonimnya Perjuangan Perisian Open Source dan Penyusuan Susu Ibu

Hari ini, saya berkesempatan menghadiri sebuah diskusi bertajuk ‘The Impact of the Free Software Movement on Public Sector and Education’ , oleh pengasas Free Software Foundation, iaitu Richard M Stallman. Saya tidak berniat untuk mengupas kandungan diskusi yang telah saya hadiri, tetapi kandungan dan intipati yang saya perolehi dari syarahan Richard telah membuat saya tersentuh dan terkenangkan perjuangan Penyusuan Susu Ibu.

Perjuangan Richard adalah untuk menjadikan penggunaan perisian komputer lebih “bebas”. Seperti yang kita ketahui rata-rata perisian komputer yang diguna pakai adalah dari jenis menggunakan lesen berbayar. Mengapakah orang ramai masih mahu menggunakan perisian jenis ini walaupun terpaksa membayar pada harga yang amat mahal? Jika tidak membayar, kita bergelumang dengan penggunaan perisian cetak rompak. Hakikatnya, orang ramai setakat ini masih tidak mendapat maklumat tepat atau pun tidak diberi pendedahan mengenai alternatif atau pun kewujudan perisian yang berlesen tidak memerlukan bayaran. Di samping itu, penggunaan perisian berasaskan lesen bebas yang juga banyak disebut sebagai Open Source Software (terbitan jenis lesen dari Free Software), menggalakkan pengguna mengolah sendiri perisian tersebut semahunya kerana kod perisian diberikan percuma. Oleh itu dari segi pembangunan ilmiah, fenomena ini amat menggalakkan perkembangan ilmu di kalangan pelajar, pendidik dan pengguna perisian keseluruhannya. Malangnya, banyak negara-negara yang tidaklah begitu kaya pada hakikatnya sanggup melabur berbilion ringgit untuk mencapai kemajuan ICT melalui penggunaan perisian berlesen berbayar seperti Microsoft. Ada negara yang tertipu dengan pelbagai taktik pemasaran yang kononnya memberikan diskaun kepada institusi pengajian untuk mendapatkan perisian sebegini. Dengan cara ini, pelajar-pelajar sejak dari sekolah lagi hinggalah ke menara gading ‘dijajah’ menggunakan perisian berlesen berbayar ini dan tidak digalakkan mendalami ilmu melalui penggunaan perisian percuma.

Dilema yang sama juga dihadapi oleh perjuangan penyusuan susu ibu. Kenapa ibu-ibu masih mahu memberi susu yang perlu dibeli dikedai sedangkan susu percuma dapat diberikan kepada bayi. Pelbagai nikmat dan khasiat dapat diperoleh oleh ibu dan bayi melalui penyusuan susu ibu, namun ibu-ibu tetap mahu memilih susu formula. Seperti penggunaan perisian berasaskan lesen bebas, penggunaan dan implementasinya memanglah agak sukar pada permulaannya, tetapi jika konsep ini diterap sejak dari bangku sekolah lagi dan pendedahan diberikan secukupnya kepada pengguna, InsyaAllah ianya akan menjadi norma biasa di dalam masyarakat dan penggunaannya
akan menjadi mudah setelah lebih ramai pengguna dan penyokong berganding bahu membantu antara satu sama lain. Penyusuan susu ibu juga memerlukan pemindahan paradigma dan gandingan bahu dari segenap masyarakat agar ianya kembali menjadi norma biasa dan dapat dipelajari dengan mudah oleh semua ibu-ibu agar kesukaran yang dihadapi oleh ibu-ibu ini dapat dikurangkan.

Kalau perjuangan perisian berlesen bebas ini mendapat tentangan hebat dari pengeluar perisian berlesen yang bermain dengan segala patent dan lesen, penyusuan susu ibu mendapat halangan yang sama hebatnya dari pengeluar susu formula. Mereka saban hari mencanangkan bahawa pelbagai khasiat telah berjaya dimasukkan ke dalam ramuan formula mereka demi menandingi susu ibu. Kononnya, ramuan formula ini telah setanding, atau hampir setanding dengan kandungan susu ibu. Tetapi sejauh manakah kebenaran fakta ini? Hakikatnya, kita tidak tahu apakah keseluruhan kandungan susu ibu kerana secara saintifiknya, kandungan susu ibu diketahui dengan cara perbandingan dengan unsur-unsur yang telah kita ketahui, tetapi tidak
dengan unsur yang belum kita ketahui. Sesungguhnya yang maha mengetahui itu hanyalah Penciptannya.

Kedua-dua ‘musuh’ di dalam perjuangan dua dunia yang berbeza ini iaitu perisian dan susu ibu, memang licik dan berpengalaman luas tetapi seharusnya rakyat yang naif ini perlu dilindungi dan didedahkan kepada hakikat sebenar. Siapakah yang sepatutnya bertindak sebagai
pelindung dan penggerak kepada perjuangan ini? Memang pada asasnya, kerajaan harus menjadi tampuk utama, tetapi masih tidak cukup dengan itu, setiap badan dan organisasi di dalam negara harus turut berganding bahu. Ayuh, bangunlah generasiku dan perjuangkanlah hak anda dan generasi yang akan datang!!