Tahun ini (2020) menanda aras 20 tahun kami suami isteri memegang status sebagai papa dan mama. Sekitar hujung bulan Januari menjelang alaf baru, saya disahkan hamil puteri sulung kami.
Seingat saya, persediaan untuk menyambut kelahiran puteri sulung kami boleh dikatakan agak ‘simple’. Kebanyakan langkah yang dambil adalah menurut ‘flow of chart’ ketika itu. “If…yes.. goto..if ..no… then… next.. if..” begitulah kami menurut logik bahasa penuturan komputer tanpa terlalu banyak berfikir.
Sebaik sahaja mendapat indikasi mengandung daripada ujian yang dijalankan sendiri di rumah, kami segera membuat temujanji di hospital berdekatan. Lawatan demi lawatan setiap bulan ke situ, ada sahaja kepincangan dalam perkhidmatan yang diterima. Pendek kata kami tidak berpuas hati. Kami mengambil kira itu sebagai petanda pusat rawatan alternatif harus dicari.
Akhirnya kami bertemu sebuah pusat rawatan di Subang Jaya. Alhamdulillah pengalaman di sana memenuhi spesifikasi kami. Apabila disarankan oler Perunding Obstetrik di situ agar kami berdua mengikuti kelas persediaan ibu ayah, kami turuti.
Selama beberapa malam setiap minggu kami luangkan masa mempelajari selok belok menjadi ibu dan ayah. Jujurnya kalau ditanya butiran yang dipelajari, saya sendiri sudan tidak ingat lagi. Tapi pada ketika itu, kami mengambil keputusan untuk mempelajarinya daripada seseorang yang boleh dipercayai. Bukanlah semua perkara kami telan bulat-bulat, tapi ternyata ada banyak butiran mutiara yang dapat kami kutip dari kelas hujung minggu itu.
Di kelas itu, selain daripada mempelajari tanda-tanda bersalin dan bagaimana proses yang bakal dilalui, kami pelajari juga sedikit tentang penyusuan ibu. Tidak terlintas pula untuk membeli botol mahupun susu ’kecemasan’. Barangkali tenaga pengajar itu berjaya menambat hati kami untuk memberikan hanya susu ibu.
Sampai masa, puteri sulung kami pun dilahirkan. Lahirnya di tengah malam. Seperti ibu lain yang membuat persediaan serba sederhana, saya haya mencuba untuk menyusu kali pertama semasa dilawati oleh jururawat penyusuan ketika itu.
Orangnya agak berumur dan saya fikir banyak pengalamannya. Sangat bersabar menanti kesediaan bayi kami untuk mula menyusu. Ternyata awal pagi itu, bayi yang kami namai Widad, kuräng berminat untuk menyusu dan seperti sangat mengantuk.
Apabila mencuba menyusu sebelah kanan, Widad tak mahu buka mulutnya. Seperti tersengguk-senguk mengantuk. “Cuba lagi ya mama.. “ lembut sahaja jururawat itu memujuk, sambil tangannya membantu mengalihkan posisi Widad ke arah yang lebih selesa untuk saya dan dia. Apabila kena pada tempatnya, Widad menganga mulut dan mula melekap. Itulah lekapan pertama yang saya pelajari.
Mungkin kerana berasa sangat selesa berada dalam dakapan mama, Widad tertidur lagi. Kali ini dibuka semua kain bedungnya agar Widad lebih merasai tentang keperluannya untuk mengisi perut ketika itu. Kami cuba pula di sebelah kiri. Kali ini lebih mudah dan berhasil. “Pandai pun!”, puji jururawat sambil tersenyum. Alhamdulillah! Berjaya!
Sebelum meninggalkan kami sempat dia berpesan, nanti menyusu kerap di rumah. Selebihnya saya sudan lupa.
Sampai di rumah Widad sudah semakin pandai menyusu. Saya masih ingat lagi disebabkan pandainya dia menyusu, sehingga saya mengeluh kepada abang long saya yang datang melawat. “Asyik nak menyusu je dia ni!” Cepat sahaja abang long saya menjawab, “Habis, awak nak suruh dia buat apa? Main bola?”
Ahli keluarga yang datang berziarah juga sangat membantu. Disuruh sahaja berehat di dalam bilik bersama bayi. “Namanya kan berpantang”, ujar mereka.
Bila diimbas kembali, plot kisah permulaan kami sebagai ibu dan ayah memang sangat mudah dan lancar. Lebih kurang 2 minggu selepas bersalin, saya mula tersedar yang saya akan menduduki peperiksaan. Tak terfikir perancangan untuk hal itu. Saya cuba menghubungi pensyarah yang mengendalikan periksa. Jawapan mereka ketika itu juga ‘simple’ sahaja. “Awak bawalah baby awak ke tempat periksa. Nanti kami sediakan bilik khas.” Wow!
Sampai hari peperiksaan, saya masih ingat lagi, ada mata-mata yang memandang kehairanan. Mengapalah mak zaman sekarang ni tak boleh duduk diam dalam pantang? Barangkali itulah persoalan dalam benak mereka. Saya buat tak endah. Kami berangkat 3 beranak ke tempat periksa.
Di dalam kereta, saya cuba menyusu selama mungkin dengan harapan Widad akan tertidur lama seperti biasa selepas menyusu. Sampai di bilik khas, Widad diletakkan dalam bakul. Tuan suami ditugaskan mengawasinya.
Saya mula menjawab apabila kertas peperiksaan diserahkan. Tak sampai beberapa minit, Widad sudah terjaga. Tuan suami menghulur Widad yang minta disusukan. Saya mengambilnya dan cuba menyusu. Selalunya dia hanya mengambil masa dalam 10 minit sahaja. Ternyata kali ini berbeza. Semakin mahu dilepaskan semakin kuat dia menyusu. Memandangkan masa sangat suntuk, saya memegangnya sebelah tangan kanan untuk menyusu dan tangan kiri sambung menjawab soalan peperiksaan.
Begitulah keadaannya untuk 3 kertas peperiksaan yang saya ambil untuk semester itu. Alhamdulillah, berjaya lulus kesemuanya. Widad selepas itu mendapat jolokan pelajar termuda ke universiti.
Perjalanan kami yang hanya menurut ‘flow chart’ ketika itu dan berfikiran ‘simple’ mungkin menjadikannya nampak mudah. Bagaimana agaknya pengalaman ibu ayah di zaman sekarang?
#Penyusuanibu20tahundulu
# keepitsimple
–kamariah
Nor Kamariah Mohamad Alwi kamariah@susuibu.com
International Board Certified Lactation Consultant [L-31434]
SusuIbu.Com [ https://www.susuibu.com ]