Amalan penyusuan ibu bukanlah suatu trend baharu. Ia adalah fitrah kelangsungan hidup untuk setiap mamalia sejak azali lagi. Setiap ibu mamalia akan menyusui anak mereka menurut intuisi masing-masing sejurus selepas melahirkan. Begitu juga ibu manusia.
Dahulu kala, ibu manusia hidup secara berkampung, mempelajari kaedah menyusui dari ibu dan keluarga terdekat dalam kelompok sekampung mereka. Ilmu menyusu ini diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Ia ditokok tambah dengan segala adat dan pantang larang mengikut pengalaman yang terbit dalam kelompok kehidupan masing-masing.
Mengikut sejarah peradaban manusia, sejak dahulu kala lagi, bukan semua bayi dapat menyusui dari ibu mereka sendiri. Atas pelbagai sebab, wujud satu golongan wanita yang menyusukan bayi yang bukan dilahirkannya. Golongan wanita ini digelar ibu susuan.
Apabila revolusi industri terbit di negara barat, amalan penyusuan ibu telah digantikan dengan pemberian susu gantian. Pada awalnya, susu gantian yang dihasilkan ketika itu terlalu banyak kekurangannya walaupun kelihatan berwarna putih dan seolah boleh mengenyangkan bayi. Ia telah mengakibatkan bayi kekurangan zat dan mati akibat mudah mendapat pelbagai penyakit berbanding bayi yang masih boleh menyusui secara alami dengan ibunya.
Apabila zaman beredar, susu gantian yang turut mengalami proses penambahbaikan dan dipromosikan oleh kaedah pemasaran yang setaraf dengan industri rokok dunia, susu gantian telah menambat hati ramai golongan ibu. Ia mula dianggap lebih moden dan cocok untuk golongan berada. Penggunaan susu gantian menjadi tanda aras status golongan berada, manakala pengamal penyusuan ibu pula dianggap kolot.
Menurut statistik kesihatan dunia, apabila lebih ramai bayi diberikan susu gantian, status kesihatan mereka juga turut merosot. Hakikatnya, susu gantian bukan sahaja tidak dapat menandingi susu ibu dari segi zat dan nutrisinya, bahkan ianya hanyalah susu tepung yang tidak mengandungi sebarang sel hidup yang boleh melindungi bayi dari pelbagai bakteria, virus dan penyakit.
Atas kesedaran ini, berlaku satu gelombang kesedaran sekitar awal 70an di peringkat Badan Kesihatan Sedunia untuk mengangkat semua martabat penyusuan ibu sebagai satu piawaian kehidupan. Tidak ada sebarang produk gantian buatan manusia yang boleh menandingi susu ibu ciptaan Tuhan. Amalan penyusuan ibu disarankan agar dipromosi, disokong dan dilindungi demi kelangsungan hidup umat manusia.
Hari ini, amalan penyusuan ibu dianggap sebagai salah satu pilihan. Masih ramai orang awam yang termakan dakwaan yang dibuat oleh pelbagai iklan pemasaran susu gantian. Masih ada kelompok masyarakat yang menganggap susu gantian adalah setara dengan susu ibu, malah ada yang merasakan susu gantian lebih hebat disebabkan ia telah dibungkus dengan cantik, dilabel dengan pelbagai zat dan nutrisi serta dipasarkan di pasaraya terkemuka.
Masyarakat hari ini terpaksa mempelajari semula kaedah dan amalan penyusuan ibu kerana sebahagian besar daripada kita telah terputus dari rantaian amalan terdahulu. Ramai ibu berasa sangat kekok untuk memulakan penyusuan dan tidak ada tempat untuk mengadu dan mendapatkan bantuan.
Berbeza dengan cara pembelajaran nenek moyang terdahulu yang ilmunya terhad kepada amalan dalam kelompok masyarakat mereka sahaja, masyarakat hari ini boleh tenggelam dalam lautan pelbagai maklumat tentang bagaimana mereka harus menyusui anak masing-masing.
Dalam usaha pemulihan amalan penyusuan ibu, masyarakat hari ini memerlukan sisipan ilmu yang mudah difahami dan nasihat praktikal yang sesuai untuk diamalkan pada zaman ini. Sempena 2020 ini, Susuibu.com akan menstruktur semula sisipan ilmunya dengan bahan bacaan dan bengkel secara dalam talian. Struktur pembelajaran kendiri ini diharapkan dapat membantu ibu zaman sekarang untuk memulihkan semula amalan penyusuan ibu.
Nantikan perkembangan terkini seterusnya.
–kamariah
Nor Kamariah Mohamad Alwi kamariah@susuibu.com
International Board Certified Lactation Consultant [L-31434]
SusuIbu.Com [ https://www.susuibu.com ]