Terima Kasih ILCA

Original Image Tahun 2009 telah mencatat sejarah buat diri saya, Malaysia dan ILCA apabila Saya telah tersenarai sebagai penerima biasiswa ILCA untuk ke konferens tahunan ILCA di Orlando, Florida, Amerika Syarikat. Ikuti pengalaman 5 hari mengikuti konferens bersama ILCA.

Sebetulnya saya sekadar mencuba nasib sebaik sahaja lulus peperiksaan IBLCE tahun lepas, 2008 untuk mendapatkan biasiswa tersebut. Ternyata nasib menyebelahi saya. Puan Glenna Thurston dari ILCA telah memaklumkan saya bahawa saya berjaya. Memang besar harapan yang digendong bersama dalam penyertaan konferens kali ini. Bukan sahaja untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diterima untuk mengaut pengalaman malah untuk berkongsi manfaat tersebut dengan rakan-rakan seperjuangan di Malaysia kelak.

Pada hari pertama, saya menyertai kerja kumpulan untuk menggilap skil klinikal yang menyentuh teknik posisi dan pelekapan penyusuan, penggunaan peralatan gantian pemberian susu, kaedah dokumentasi kaunseling dari guru-guru terkenal. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mengikuti bengkel mengikut tajuk yang berbeza-beza mengikut giliran. Antara pengalaman manis pada hari pertama ialah menyertai salah satu kerja kumpulan yang diketuai oleh Linda J. Smith, seorang IBCLC berpengalaman dan penulis beberapa buah buku rujukan terkenal. Selain beliau, saya juga berpeluang berkenalan lebih dekat dengan Kay Hoover, juga guru terkenal dalam bidang laktasi.Original Image Gambar – Bersama Linda J Smith

Hari kedua telah dipenuhi dengan pembentangan kertas kerja dari beberapa penceramah terkenal. Antara yang mencuit hati adalah ceramah dari Dr Marianne Neifert atau dikenali sebagai “Dr. Mom”. Beliau telah berkongsi tips kepada semua IBCLC agar tidak mudah ‘burn out’ dalam keghairahan untuk menjalankan tugasan yang sungguh mencabar sebagai Lactation Consultant. Beliau menekankan betapa Keseimbangan dalam kehidupan seharian adalah amat penting. Persembahan beliau yang bersahaja membuat setiap peserta tidak kering gusi mendengar celoteh beliau.

Pada hari kedua juga saya berpeluang mendengar ceramah dari penulis buku “Supporting Sucking Skills in Breastfeeding Infants” iaitu Dr Donna Geddes. Beliau menghuraikan betapa kompleksnya langkah yang dialami oleh bayi semasa menghisap dan menelan susu. Keupayaan bayi untuk mengawal pernafasan semasa proses ini berlaku juga adalah sesuatu yang kompleks dan boleh memberi kesan terhadap keupayaan bayi mendapatkan susu ibu secara efektif.

Pulang dari ceramah pada hari kedua, saya bertemu seseorang di dalam lif. Beliau adalah Maureen Hoag Dann, penulis buku “Lactation Management” yang telah menjadi buku rujukan serta bahan bacaan edaran kepada ibu-ibu yang mendapatkan khidmat kaunseling dengan saya. Beliau sungguh teruja apabila mengetahui saya amat menghargai kerja beliau dan menggunakan hasil karya beliau dalam rutin harian saya. Sebuah buku beserta tandatangan beliau telah dihadiahkan kepada saya buat kenang-kengangan apabila pulang ke Malaysia kelak.

Hari ketiga, saya menempa pengalaman baru iaitu selain dari menyertai konferens yang diadakan, saya juga menyertai pasukan sukarela. Pada hari tersebut, saya ditugaskan di kedai buku ILCA dan menjaga bilik salah satu dari ceramah yang saya ikuti. Walaupun hanya bertugas seketika, pengalaman tersebut amat bermakna. Keseluruhan program tersebut telah dibantu oleh lebih 70 orang sukarelawan dan kerja-kerja telah diagihkan dengan sungguh efektif oleh pihak pengurusan.

Antara ceramah yang menarik perhatian saya pada hari ketiga adalah dari Dr Bryan Vartabedian yang telah mengupas tentang misteri reflux, colic dan keresahan bayi baru lahir yang mengalami alahan protin susu. Saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan buku tulisan beliau yang baru sahaja memasuki pasaran.

Pada penghujung hari tersebut, saya telah dijemput ke bilik Presiden ILCA menyertai beberapa orang penerima biasiswa ILCA yang lain. Saya berkenalan dengan lebih rapat sebahagian dari Jawatankuasa ILCA. Saya sempat berkongsi dengan mereka tentang situasi penyusuan susu ibu di Malaysia dan betapa kebutuhan rakyat Malaysia untuk menambah bilangan IBCLC sebagai salah satu kaedah meningkatkan profesionalisme di bidang laktasi. Original Image Gambar – Di bilik Presiden ILCA

Pada hari keempat, program dipenuhi dengan pembentangan plenari oleh beberapa penceramah lagi dan mesyuarat agung ILCA. Dalam pemerhatian saya, boleh dikatakan hampir satu perempat dari peserta konferens terdiri dari wanita yang sudah berpangkat nenek. Saya kagum dengan kegigihan mereka untuk menyertai program ilmu seperti ini dan mereka semuanya nampak sungguh bersemangat sepanjang program tersebut.
Original Image – Gambar – IBCLC yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun.

Pada penghujung hari keempat, kami dikejutkan dengan salah satu pembentangan plenari bertajuk “Happily Ever After Promoting IBCLC” yang dibawa dalam bentuk persembahan lain dari yang lain. Dikendalikan oleh Cathy Carothers dan dibantu oleh beberapa rakan-rakannya, mereka mempersembahkan kisah “Lactarella” seorang Lactation Consultant yang bersedih dalam menjalankan tugasannya. Dengan bantuan seorang “Fairy God Mother”, segala permintaannya telah direalisasikan. Namun selepas kesemua permintaannya dilunaskan, Lacterella tetap tidak berpuas hati. Pada akhirnya, FGM telah membantu beliau untuk mengenal jati dirinya dan menyedari bahawa perubahan hanya boleh dilakukan oleh diri beliau sendiri bukan bergantung kepada orang lain. Antara bintang dalam persembahan tersebut adalah Dr Tom Hale yang memegang watak “Prince Charming”!Original Image Gambar – Lactarella bersama Prince Charming dan Fairy God Mother.

Pada hari kelima, persidangan diteruskan dengan topik frenulotomy dan bagaimana prosedur ini boleh membantu ramai bayi memperbaiki pengalaman penyusuan masing-masing. Tajuk ini telah dibawa oleh Dr James Murphy dan Dr Donna Geddes.

Pengalaman 5 hari di Florida bersama ILCA telah saya akhiri dengan menyertai sebuah bengkel bertajuk “Applying The Skills of Sherlock Holmes and Dr House To Get The Lactation Diagnosis”. Dalam kerja kumpulan, kami menggunakan teknik-teknik yang telah dikenalpasti untuk memudahkan cara mengesan punca masalah dalam bidang laktasi. Original Image – Gambar – Bersama kumpulan dalam bengkel.

Sesungguhnya pengalaman ini sungguh bermakna dan tidak dapat dilupakan. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan kembangkan di tanahair kita. Saya berazam untuk mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari dan temui di sana, semestinya di SusuIbu.com! Terima kasih ILCA kerana membantu kami.