Sempena Hari Pekerja: Dasar-Dasar yang Menyokong Penyusuan Ibu-Ibu Bekerja

Malaysia : A Pictorial History 1400-2004, hlm.264

Antara hasil gerakan pekerja wanita Eropah pada awal kurun ke-20 ialah dasar C003 – Maternity Protection Convention, 1919 (No. 3) anjuran International Labour Organisation (ILO), yang antara lainnya melindungi hak penyusuan dan penjagaan anak bagi pekerja-pekerja wanita, contohnya penetapan waktu rehat bagi ibu menyusu.[1]

Malangnya pihak kolonial British tidak menerapkannya sebagai dasar di Tanah Melayu, atas alasan tenaga buruh di sini kebanyakannya adalah pekerja-pekerja migran dari India dan China, yang dianggap tidak tertakluk oleh konvensyen ini.[2]

Antara contoh kesannya, ibu-ibu di kalangan pekerja dari India yang bekerja di ladang-ladang terpaksa berhenti menyusu terlalu awal, dan meninggalkannya di bawah penjagaan pusat asuhan di estet, yang kurang kelengkapan dan tahap kebersihan yang sewajarnya. Hal ini menyebabkan cara penyusuan yang tidak sihat, contohnya penggunaan tepung suji, atau pemberian susu pekat manis yang dipromosi hebat oleh syarikat pengeluar dan pengedarnya, serta kurang makanan berkhasiat dan seimbang.[3]

Namun hal-hal berkaitan hak-hak pekerja wanita ini terus diperjuangkan. Antara kemuncaknya ialah meledaknya mogok besar-besaran pekerja ladang-ladang di Selangor pada tahun 1937, yang rata-ratanya disertai oleh pekerja wanita Tionghua. Antara tuntutan mereka ialah penetapan had waktu bekerja dan pengurangan tugasan, penyediaan manfaat ibu bersalin serta kemudahan secukupnya untuk penjagaan anak-anak mereka setelah kembali bekerja.[4]

Dasar-dasar perlindungan pekerja wanita akhirnya termaktub di dalam Akta Pekerja 1955, dan dikemaskini oleh pindaan-pindaan selepasnya. Misalnya, dalam pindaan pada tahun 2022, cuti bersalin telah dipanjangkan daripada 60 kepada 98 hari (sebagaimana syor ILO tahun 2000), serta cuti bapa sebanyak 7 hari.[5]

Namun pelbagai cabaran dalam perlaksanaan dasar-dasar ini, serta kesan-kesan sampingannya, terus dihadapi oleh ibu-ibu bekerja, sehingga ke hari ini. Antaranya adalah kenaikan kos operasi majikan, mengakibatkan kecenderungan sesetengah majikan untuk mengambil pekerja lelaki berbanding wanita.[6]

Sumber:
[1] International Labour Organisation (ILO), 1919: “C003 – Maternity Protection Convention, 1919 (No. 3)” – https://normlex.ilo.org/dyn/nrmlx_en/f?p=NORMLEXPUB:12100:0::NO::P12100_INSTRUMENT_ID:312148
[2] Lynn Hollen Lees, 2017: Planting Empire, Cultivating Subjects British Malaya, 1786–1941, hlm.193
[3] Vanaja A/P Sathivel, 2022: “Masalah Kesihatan Wanita India di Estet-estet Negeri Kedah: 1910-1945”
[4] Yeo Kim Wah, 1976: “The Communist Challenge In The Malayan Labour Scene, September 1936-March 1937”
[5] Free Malaysia Today, 21 Mac 2022 – https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/03/21/maternity-leave-extended-from-90-to-98-days
[6] The Straits Times, 22 November 2024 – https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/maternity-leave-extension-should-draw-malaysian-moms-back-to-workforce-but-some-employers-wary

Gambar hiasan: Malaysia : A Pictorial History 1400-2004, hlm.264

Disediakan oleh: Syahrul Sazli Shaharir